Monday, March 20, 2006

Dia Berikan Tangannya (siri 2)

Bersambung…..

“ Tidak Mulya, suara kerdilmu menjadi besar dalam kelompok jutaan umat manusia itu,” kata Adnan. “Tanpamu, tanpaku, ia tidak menjadi jumlah jutaan itu. Kita penyumbang dalam usaha menyekat peperangan itu dan Allah melihat apa yang kita buat.”

Aku mengangguk saja atas pendirian Adnan. Tak pernahlah dalam hidupku, aku terlibat dalam mana-mana perhimpunan sebegini kecuali ketika menyambut Tun Dr Mahathir di kampus di tanah air suatu ketika dahulu atas dasar ‘nasionalisme’ku yang amat dangkal sekali, namun amat aku banggakan.

Aku tidak nampak Angelina dalam mana-mana bas yang bertolak dari universiti pada pagi itu. Tetapi apabila rombongan behimpun di Piccadilly Circus untuk berarak ke Hyde Park, aku terdengar dia memanggil namaku. “Mulya, Mulya…glad to see you here.” Aku senyum tapi tak dapat hendak berbual panjang dengannya kerana di situ sahaja sudah terdapat ratusan ribu manusia. Dalam asakan manusia yang seprti semut itu, Anelina Eliseo sempat memberitahuku bahawa dia sudah beada di London sejak semalam lagi. Dan dia..katanya, “I’m going to Iraq, I’m becoming human shield to stop the war”, kata Anelina dengan telo Itali, negara asalnya.

Aku tersentak dengan kata-kata Angelina itu. Sekelip mata Angelina hilang dalam kelompok jutaan manusia yang berpusu-pusu. Dan aku terkedu. Aku rasa urat tengkukku meremang.

“Dia mahu ke Iraq, Nan. Dia mahu menjadi perisai manusia?” Berkali-kali aku ulangi pertanyaan itu kepada Adnan. Dan berpuluh kali juga aku tanyakan soalan itu kepada diriku sendiri. Malah aku juga tenggelam dengan persoalan, “Siapakah Angelina ini?” Dia berganda-ganda lebih berani daripada aku yang sebenarnya juga hanya pandai memberikan sokongan lidah tetapi pengecut untuk tampil menawarkan nyawa. Bodohkah Angelina, gadis cendekia-akademia yang bukan sebangsa dengan rakyat Iraq tapi mahu mempertahankan mereka? Sekurang-kurangnya aku ini seagama, namun aku pengecut, aku hanya sanggup menawarkan air liurku yang tiada harganya!

Sejak itu aku rasa amat malu terhadap diriku sendri. Aku juga berasa amat malu kepada Angelina kerana semangatku tidak sekuatnya. Aku malu juga kerana aku adalah umat Islam. Akulah yang sepatutnya ke Iraq, akulah yang sepatutnya menjadi perisai manusia, bukan gadis jelita yang kaya dengan kelembuatn seperti Angelina. Apatah lagi dia bukan Muslim.

“Agama bukan lagi bukan sempadannya, Mulya, tetapi prinsip kemanusiaan sejagat melampaui kekangan,” kata Adnan. Prinsip sejagat meleburkan sempadan agama, alam dan budaya,” tambah Adnan lagi. Ketika itu aku teringat firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 62 yang kira-kira bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang beriman dan orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani dan orang-orang Sabien, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan percaya adanya hari Akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan dan tidak ada kebimbangan kepada nereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
Dan aku beristighfar panjang. Kerana itulah aku mengagumi Angelina Eliseo. Apakah Angelina sebahagian daripada Nasrani yang Allah maksudkan? Astaghfirullah…dan siapakah aku ini?

Tiba-tiba aku diruntun keinginan untuk bertemu Angelina. “Adnan…mari kita cari Angelina. Sekurang-kurangnya kita berikan sokongan moral… aku rasa brtanggungjawab untuk mengucapkan selamat jalan dan selamat kembali kepadanya.”

Tanpa berlengah kami pun meredha jutaan manusia di Hyde Park itu untuk mencari kumpulan ‘perisai manusia’ yang akan berangkat ke Iraq. Setelah berpeluh, akhirnya kami temuinya.

Angelina tersenyum lebar apabila ternampak kami. Dialah yang kukira paling muda dalam rombongan 60 orang itu. Yang lainnya tua-tua belaka dalam lingkungan umur lima puluhan, enam puluhan malah ada yang kukira sudah berumur tujuh puluhan. Terdapat tiga buah bas dua tingkat dan sebuah teksi London di pinggir Hyde Park itu yang akan membawa mereka ke Baghdad. Mereka akan bertolak pada malam itu juga dan dijangkakan tiba di Baghdad pada 12 Oktober 2002.

“Is there anything that I can help you, Angel?” tanyaku.
“Please pray that God will help me…”
“I will…definitely I will..”

Aku lihat majah Adnan amat sayu melihat Angelina serta manusia-manusia tua yang tebal dengan keprihatinan dan semangat kemanusiaan sejagat itu. Aku juga dapat melihat kekecewaan Adnan, sebagaimana kecewanya aku. Mengapa tidak aku? Mengapa tidak Adnan? Bukankah yang akan diserang dan dibunuh di Iraq itu adalah umat Islam? Aduh… aku tak tahan lagi.. aku menjadi sebak, aku menangis… sudah lama aku tidak menangis. Aku menangis melihat insan-insan tua yang mahu menggadai yawa untuk menyelamatkan umat Islam di Iraq. Aku menangis melihat Angelina Eliseo. Sesungguhnya mereka bukan Muslim. Ke mana perginya orang Muslim? Memandang wajah ceria Angelina ketika itu sesungguhnya merobek-robekkan jiwa lelakiku yang lemah ini. Sesungguhnya…air mataku tak dapat aku bendung lagi…

Dalam sanubariku yang lemah ini tiada yang aku pinta pada Allah. “Walaupun mereka ini bukan muslimin atau muslimat, ya Allah selamatkanlah mereka. Kau selamatkanlah mereka. Kau selamatkanlah mereka. Kau selamatkanlah Angelina.”

Kami kembali ke Birmingham dalam kemurungan, kegentaran, kekecewaan berbaur juga kemarahan; kemarahan kepada kerakusan manusai yang bersembunyi di sebalik perjuangan anti-terrorisme yang palsu. Dan Angelina akan menjadi sejarah. Angelina hanya akan menjadi kenangan silam. Angelina akan menjadi sebahagian daripada debu-debu pasir Iraq. Angelina pasti tak akan meneruskan pengajian kedoktorannya lagi, Angelina hanya akan menjadi perbualan yang lama-kelamaan akan pupus dan lenyap perlahan-lahan, perlahan-lahan dan akhirnya dilupakan. Itulah yang terbisik di hatiku.

No comments: