Friday, March 03, 2006

Dia Berikan Tangannya


Assalamualaikum...kali nih saye nak share satu cerpen dari Utusan Malaysia yang saye kire cukup bagus untuk menilai kembali, di mana sensitiviti kite sebagai seorang Muslim apabila berbicara tentang penindasan terhadap saudara2 kite di serata dunia nih.. since it's quite long, so i'll make it in 2-3 series le... ditulis oleh seorang penulis yang saye rase amat peka dengan isu semasa dan tidak hanya menulis novel2 dan cerpen picisan yang sekadar berbentuk hiburan...so, enjoy it and leave your comment...



Dia Berikan Tangannya (oleh: Rahmat Purnama Mulya)


Sudah lama aku ingin menulis kisah ini. Ia meruntun dan mengheret jiwaku saban hari supaya aku uraikan dalam komputerku ini. Sejak lama. Sejak 28 September tahun 2002 lagi. Sejak pada hari dua juta warga dunia berhimpun di Hyde Park untukl menentang serangan Amerika ke atas Iraq. Dan dua juta itu disokong oleh ratusan juta lagi pehimpunan yang sama di Bandar-bandar besar di seluruh jagat alam ini.

Pasti juga ada perhimpunan sebegini di Malaysia, negara yang aku kasihi. Keinginan aku untuk menulis ini bukan kerana perhimpunan raksasa itu, tetapi ia diruntun oleh kekagumanku kepada keprihatinan Angelina Eliseo terhadap satu bangsa yang tiada kena-mengena dengannya. Keprihatinan universal yang amat hebat bagiku.

Keinginan itu meruntun dan menjadi trauma bagiku, tetapi kutangguhkan kerana pada mulanya aku rasa ia hanyalah fenomena biasa bagi individu Barat yang prihatin terhadap keamanan dunia. Namun akhirnya perlahan-lahan aku sedar bahawa persepsi aku itu meleset, kerana ia bukan hanya sekadar keprihatinan, tetapi ia adalah pengorbanan, ia adalah hidayah, dan ia membuka pintu kebenaran.

Angelina Eliseo bukan bintang seni persembahan atau penyanyi pop Barat yang gila-gila. Dia bukan sesiapa, dia hanya seorang gadis cendekia yang tebal dengan prinsip ‘warga dunia’ atau warga tanpa negara. Dia adalah rakan kuliah pasca-graduat kedoktoan yang aku sedang hadiri di Universiti Birmingham. Aku tidak pernah mahu brkenalan dengannya, tetapi perkenalan itu berlaku begitu-begitu sahajadan secara kebetulan belaka kerana dia rakan kuliahku. Seperti Angelina, aku juga suka berdebat tetapi dengan dia, aku lebih banyak menyokong kerana aku rasa falsafah yang dia tunggangi tiada jauh bezanya dengan dogma yang aku pegang.

Namun Angelina Eliseo secara diam-diam menjadi kajian kes aku yang tidak rasmi. Dia gadis Itali dengan darah campuran Inggeris dan Sepanyol. Dia memang jelita dengan matanya yang biru kehijauan, kulitnya putih lembut kemerah-merahan, tetapi hatinya keras, falsafah dan prinsip hidupnya melangkaui batas-batas agama dan etnik. Namun bkan kejelitaannya yang membangkitkan traumaku untuk menulis. Tidak, sekali-kali tidak.

Memang aku hormat padanya kerana dia sering kali berani untuk berdebat bagi menyanggah kerakusan Amerika dalam program rakus mereka yang bertopengkan alasan memerangi terorisme. Ironinya dalam memerangi terorisme itu, mereka sendiri menjadi teroris, mereka menjadi mafia dunia, mereka menjadi samseng global. Lantas untuk menghalalkan prejudis mereka, mereka mencipta Al-Qaeda, mereka menggilap watak Osama bin Laden, mereka memfatamorganakan senjata pemusnahan massa. Merekalah sebenarnya teroris. Dan itulah kata Angelina Eliseo yang masih keras menerobosi pendengaranku dalam satu debat fakulti tentang terorisme Amerika. Dan hujah-hujah Angelina itu menerima tepukan gemuruh.

Dia banyak menyelidik tentang dasar-dasar luar Amerika yang baginya banyak menjerumuskan warga dunia kepada kemusnahan. Amerika telah menempa dosa yang amat besar pada rakyat Iraq. Bukan sahaja warga Iraq namun juga kepada warga Vietnam, Afghanistan dan penglibatan mereka di negara Balkan, di negara-negara Benua Afrika dan jutaan lagi warga jagat ala mini. Sejak selepas Perang Dunia Kedua, Amerka telah menyerang lebih dua puluh buah negara dan menyebabkan jutaan warga dunia musnah. Merekalah teroris.

Dan Amerikalah yang mencipta situasi kepalsuan bagaikan halusinasi yang diada-adakan. Amerikalah yang mencipta ‘terorisme’, mereka juga mencipta ‘Al-Qaeda’, mereka juga mencipta ‘tembakan persahabatan’, mereka jugalah yang mencipta ‘Osama’ dan mereka jugalah yang mencipta ‘pemusnahan kolateral’. Yang paling menyakitkan, Amerikalah yang mencipta ‘senjata pemusnahan massa’. Dan dengan tak malunya mereka mahu menggeledah Iraq untuk mencari senjata itu. Namun kini terbukti bahawa semuanya sekadar mitos yang dimomok-momokkan. Benarlah kata Voltaire, bahawa manusia mencipta istilah untuk mewajarkan perlakuannya. Dan penciptaan istilah inilah sebahagian daripada agenda terorisme Amerika. Itulah hujah-hujah Angelina yang membuatkan aku segera mencari rasionalnya. Dia benar, tetapi bagiku ketika itu Angelina hanya gadis cendekia-akdemia yang hanya pantas berbicara, dia hanya bijak berkata-kata, dan tidak lebih daripada itu.

Apabila ditanya mengapa dia amat menentang Amerika sedangkan dia adalah warga Barat yang seharusnya berada dalam kumpulan yang bersekongkol dengan Amerika. Lantas dia bangun dengan kejelitaannya dan berkata bahawa dia warga duna, sesiapa yang merosakkan dunia ini adalah musuhnya dan dia akan menentang. Dia tidak emosional. Dia tenang apabila merungkaikan hujahnya. Dia berkata dengan lembut dan perlahan tetapi keras prinsipnya. Dia tenang dalam redupan wajahnya yang jelita.

Patutlah namanya Angelina yang bermaksud bidadari dalam bahasa Itali. Aku kagum pada Angelina bukan kerana itu semua. Bukan bukan dan tdak seklai-kali. Ada perkara lain yang amat aku kagumi tentang Angelina Eliseo. Begitu juga Adnan, rakan senegara dan rakan karibku di kampus. Kami sama-sama mengagumi Angelina Eliseo. Itulah yang aku ingin tuliskan. Persepsiku bahawa Angelina hanyalah ‘seorang lagi’ watak Barat yang hanya pandai berbicara terus meleset. Akhirnya aku sedar dia bukan sekadar gadis cendekia-akademia yang petah berbicara, dia bukan sekadar ‘eorang lagi watak Barat’ tetapi dia adalah gadis hebat yang diturunkan Allah satu dua sahaja di maya pada zaman ini. Inilah yang aku ingin ceritakan.

Pada 28 September 2002, sejak selepas solat Subuh lagi, aku sudah bersedia. Adnan bermalam bersama di biliku supaya nanti kami dapat bersama-sama dalam satu bas untuk ke Hyde Park, London. Lima buah bas bertolak dari universiti ke Hyde Park pada pukul 6 pagi. Sebenarnya aku tidak tahu kenapa aku harus bersama jutaan manusia di Hyde Park itu. Untuk menunjukkan sokonganku supaya serangan ke atas Iraq dihentikan? Ya, benar, tapi suara manusia kerdil sepertilku tidak ada kesannya.



bersambung.......

No comments: